Tuesday, June 30, 2009

MICHAEL JACKSON & HUSNUL KHATIMAH

1. Apabila Michael Jackson meninggal dunia, pelbagai reaksi dapat kita lihat di seluruh dunia. Aneka ragam ditunjukkan oleh manusia bagi menyatakan kekaguman mereka terhadap Michael. Apatah lagi dengan berita kontroversi Islamnya Michael, maka ramai yang bertanya tentang proses pengkebumiannya. Bapanya menyatakan bahawa pengkebumian Michael hanya akan dibuat selepas keluarnya keputusan “post-mortem” kedua.

2. Michael yang sebelum itu beragama Kristian bermazhab Jehovah’s Witnesses menyatakan tentang perasaannya yang tidak tenang walaupun dia adalah penghibur terkemuka dunia tetapi dirinya sendiri tidak terhibur. Saksi Jehovah adalah satu kumpulan dalam agama Kristian yang mempunyai pro dan kontra. Bagusnya kumpulan ini ialah mereka mengkufuri Triniti (Tuhan Bapa, Tuhan Anak dan Ruhul Qudus). Bagi mereka, Tuhan hanya satu bukan tiga. Kepercayaan ini adalah selari dengan kandungan asal Kitab Injil. Tetapi yang tidak baiknya kumpulan ini ialah mereka membuat ramalan tentang hari Qiamat, iaitu pada 1914, 1925 dan 1965 yang mana terbukti kesemuanya adalah karut.

3. Tetapi bagi saya, ini semua mengingatkan kita kepada proses kematian itu sendiri.

4. Ia berlaku kepada semua manusia. Manusia yang jahat seperti Firaun, Qarun, Abu Lahab dan Abu Jahal, semuanya telah mati. Sebaik-baik manusia seperti Rasulullah SAW dan para Anbiya yang lain juga telah wafat. Semua kita tanpa kecuali akan berhadapan dengan saat ruh bakal direntap oleh malaikat maut.

5. Umar Al-Khattab yang sangat jahat pada zaman kafirnya, malah pedangnya pernah terhunus untuk membunuh Nabi SAW tetapi wafat dalam husnul khatimah. Malah beliau menjadi Khalifah Islam Kedua. Khalid Al-Walid yang pernah mengepalai tentera Musyrik Makkah menentang Nabi SAW dalam Perang Uhud, malah menjadi penyebab kekalahan kepada tentera Islam, tetapi kemudiannya mati dalam keadaan beriman kepada Allah. Bukan sedikit peperangan yang diterajuinya setelah menjadi hamba Allah yang beriman.

6. Imam Muslim meriwayatkan bagaimana Amru bin Al-As menangis dengan tangisan yang panjang ketika hampir saat kematiaannya. Lantaran ketakutannya kepada api neraka. Kenapa? Kerana pada zaman belum Islamnya, beliau sangat memusuhi Nabi SAW sehinggakan tiada manusia yang paling ingin dibunuhinya melainkan Rasulullah SAW. Hindun binti Utbah yang pernah cuba menelan hati Saidina Hamzah yang telah syahid tetapi kemudiannya memeluk Islam, sanggup menerima segala syarat daripada Nabi SAW termasuk tidak akan mensyirikkan Allah SWT dan mati sebagai salah seorang sahabiyah mengikut pandangan para ulama termasuk Ibnu Abd Barr.

7. Maka, soalannya ialah, pernahkah kita jahat seperti mereka? Pernahkah kita ingin membunuh Nabi SAW? Pernahkah kita berperang menentang Nabi SAW? Pernahkah kita menjadikan Nabi SAW sebagai orang yang paling kita benci? Jawabnya, tidak pernah! Kita tidak pernah melakukan kejahatan seperti yang pernah mereka lakukan. Tetapi isunya ialah, kenapakah mereka lebih mulia daripada kita?

8. Kerana “Islamnya” kita tidak sehebat dan setinggi “Islamnya” mereka. Oleh itu, bagi sesiapa yang pernah bergelumang dengan dosa, walau sebanyak mana dosa yang anda pernah lakukan, pesan saya, jangan mengalah, perhatikan nama-nama besar yang telah saya sebutkan tadi, lihat dosa-dosa mereka, kemudian lihat cara kematian mereka.

9. Ya Allah, matikanlah kami dalam husnul khatimah. Dan janganlah Engkau mematikan kami dalam su’ul khatimah.

Sekian.

credit 4 u


assalamualaikum

No comments:

Post a Comment