The following post is in Malay since I hope that it can clarify the issue of pigskin...Penulisan berikut ialah pandangan peribadi penulis, terpulang kepada para pembaca untuk menerima atau tidak.
Isu kasut kulit khinzir ini telah sekian lama menjadi isu di kalangan masyarakat Islam, termasuk kaum kerabat penulis. Oleh itu, penulis berasa perlu untuk menulis agar keterangan mengenai isu ini akan dapat diperjelas.
Pertama sekali, isu kulit haiwan yang telah disertu atau disamak. Menjadi kebiasaan manusia untuk mengambil kulit haiwan yang telah mati, kemudian disertu dan dijadikan pelbagai barangan, daripada khemah, pakaian, kasut, tali pinggang, beg tangan dan lain-lain. Isu pertama yang perlu diperhatikan ialah boleh atau tidak mengambil kulit haiwan ini. Perhatikan dua hadith berikut yang nampak bertentangan.
Hadith pertama (hadith Maymunah radiyallahu 'anha): Bahawa Nabi sallallahu 'alayhi wasallam berjalan dan terjumpa bangkai haiwan, lantas baginda menyarankan kepada para Sahabah agar mengambil manfaat daripada kulit bangkai tersebut. [Riwayat al-Bukhariy, Muslim, Abu Dawud, al-Tirmidhi dan al-Nasa'ie].
Hadith kedua (hadith Abdullah Ibn 'Ukaym rahimahullah): Bahawa Rasulullah sallallahu 'alayhi wasallam pernah menulis surat melarang mengambil sesuatu manfaat daripada bangkai. Perintah ini dikeluarkan setahun sebelum kewafatan baginda. [Riwayat Abu Dawud, al-Tirmidhi, al-Nasa'ie].
Hadith Maymunah nampaknya seolah-olah Rasulullah membenarkan diambil manfaat dari kulit bangkai secara umum, iaitu walaupun belum disertu. Sedangkan hadith Abdullah ibn 'Ukaym pula nampaknya melarang sama sekali diambil manfaat dari kulit bangkai. Permasalahan ini boleh diselesaikan dengan hadith berikut:
Hadith ketiga (hadith Abdullah ibn 'Abbas radiyallahu 'anhuma): Bahawa Rasulullah sallallahu 'alayhi wasallam menyatakan bahawa apabila kulit telah disertu/disamak maka sucilah ia. [Riwayat Muslim, Abu Dawud, al-Tirmidhi dan al-Nasa'ie].
Hadith Abdullah ibn 'Abbas ini jelas menyatakan bahawa kulit yang telah disertu adalah suci. Masih lagi terdapat khilaf di kalangan 'ulama tentang tafsiran hadith-hadith ini. Penulis suka dengan pendapat golongan 'ulama yang menyatakan bahawa sebenarnya ketiga-tiga hadith ini tidak bertentangan. Hadith Abdullah ibn 'Ukaym sebenarnya melarang mengambil manfaat dari kulit bangkai yang belum disertu, sedangkan hadith Maymunah menyarankan diambil kulit bangkai, disertu terlebih dahulu dan barulah diambil manfaat. Ini semua seperti yang terdapat dalam hadith Abdullah ibn 'Abbas.
Kesimpulan Pertama: Kulit bangkai selagi belum diseru maka tidak suci - ini ialah pendapat yang disepakati.
Setelah disertu, adakah ia suci? Mari kita perhatikan pandangan mazhab-mazhab Ahlussunnah wal Jamaah. Peringatan: Mazhab-mazhab Ahlussunnah tidak terhad kepada yang empat sahaja.
Mazhab Ahmad ada dua pandangan. Satu mengatakan sekiranya haiwan tersebut suci ketika hidup, maka sucilah kulitnya setelah disertu. Pandangan kedua Mazhab Ahmad mengatakan kulit bangkai tidak suci walaupun setelah disertu.
Mazhab Malik mengatakan kulit bangkai juga tidak suci walaupun setelah disertu, kecuali sekiranya kulit tersebut disertu dan dijadikan kantung barang atau air. Kulit khinzir langsung tidak boleh.
Mazhab Auza'ie, Abdullah ibn al-Mubarak, Abu Tsaur dan Ishaq ibn Rahawayh mengatakan sekiranya haiwan itu halal dimakan dan telah disembelih mengikut syarak, barulah kulitnya boleh disertu.
Mazhab Syafi'e mengatakan kesemua kulit bangkai yang disertu adalah suci kecuali kulit khinzir dan kulit anjing.
Mazhab Hanafi mengatakan kesemua kulit bangkau yang disertu adalah suci kecuali kulit khinzir.
Mazhab Zahiri dan anak murid Abu Hanifah, Imam Abu Yusuf (Qadi Besar Baghdad pada zaman pemerintahan Khalifah Harun al-Rasyid) pula berpandangan bahawa kesemua kulit apabila disertu adalah suvi, termasuk anjing dan khinzir.
Maka kesemua di atas adalah pandangan-pandangan mazhab yang masih dilingkungi dalam golongan Ahlussunnah wal Jamaah. Sekarang mari kita cuba perhatikan pandangan mereka.
Berdasarkan hadith Abdullah ibn Abbas, lafaz yang digunakan Rasulullah sallallahu 'alayhi wasallam yang mengatakan kulit apabila disertu menjadi suci adalah UMUM. Baginda hanya menyatakan kulit, maka pada pandangan penulis ia termasuk kesemua jenis kulit kerana baginda tidak menyatakan apa-apa pengecualian. Pendapat sebahagian mazhab yang membuat pengecualian ke atas bangkai haiwan yang tidak halal dimakan tidak tepat kerana tiada larangan yang jelas menyebut hanya kulit haiwan yang halal dimakan. Sama juga dengan anjing dan khinzir. Tidak ada sebarang dalil yang jelas mengatakan kulit anjing dan kulit khinzir tidak suci apabila disertu. Yang ada hanyalah pandangan imam-imam mazhab yang mulia, oleh kerana jilatan anjing perlu dibasuh tujuh kali dan khinzir adalah haiwan yang lebih teruk dari anjing, maka imam-imam ini berpendapat kulit anjing dan kulit khinzir tidak boleh disucikan sama sekali. Dan ini hanyalah pendapat tanpa dalil yang jelas menyatakan sedemikian.
Mari kita perhatikan pendapat al-Imam al-Syaukani (penulis Kitab Naylul Awthar). Beliau menyatakan bahawa pandangan Mazhab Zahiri dan Abu Yusuf adalah yang lebih tepat (rajih) kerana hadith-hadith mengenai sertu kulit bangkai menjadi suci tidak membezakan antara anjing, khinzir dan haiwan-haiwan lain. (Kesemua hadith-hadith tersebut hanya menyatakan bahawa kulit bangkai apabila disertu sucilah ia). Antara hadith-hadith tersebut ialah hadith Abdullah ibn 'Abbas: Rasulullah sallallahu 'alayhi wasallam bersabda: "Apa-apa kulit yang disertu menjadi suci" [Riwayat Muslim]; hadith 'Aisyah radiyallahu 'anha: Nabi sallallahu 'alayhi wasallam memerintahkan agar kulit bangkai disertu dan diambil manfaat darinya; dan satu lagi hadith 'Aisyah yang diriwayatkan oleh al-Daruqutniy: "Kesemua jenis kulit menjadi suci apabila disertu."
Kesimpulan Kedua: Mengatakan kulit khinzir dan anjing yang telah disertu menjadi suci adalah pandangan yang tidak terkeluar daripada Mazhab Ahlussunnah. Bahkan menurut al-Imam al-Syaukani itulah pendapat yang lebih tepat. Maka sekiranya anda ingin memakai kasut pigskin, dipersilakan. Cuma janganlah pula memaksa mereka yang tidak mahu (kerana tetap berpendapat ia najis, tidak suci; atau mereka yang mengatakan ia suci tetapi tidak mahu memakai kerana tidak sanggup). Yang mengatakan najis pula janganlah memaksa pendapat ini ke atas orang lain yang tidak sependapat.
Pandangan peribadi penulis, tidak ada selera untuk pakai kasut pigskin. Tetapi kalau tanya hukum, penulis berpendapat boleh.
Wallahu A'lam.
saya copy n paste dari blog
en suami ...